Bendera China di replika roket, polis rakam keterangan penganjur

Bendera China di replika roket, polis rakam keterangan penganjur

Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata, penganjur pesta lampu LED itu dipanggil susulan laporan yang diterima berkait isu itu.

Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sudah merakam keterangan penganjur pesta lampu LED di Bukit Gambir, Johor susulan kontroversi bendera China pada replika roket yang dipamerkan.

Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata, pengajur pesta itu dipanggil susulan laporan yang diterima berkait isu itu pada Rabu.

Katanya, laporan itu diterima daripada seorang pengadu selepas melihat komen mengenai gambar replika roket berkenaan yang disiarkan dalam kumpulan Facebook ‘Community Bukit Gambir Ledang Johor’.

“Pengadu membaca komen daripada penduduk di kawasan Bukit Gambir yang rasa tidak selesa dengan keberadaan replika roket menampilkan bendera China

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.

Terdahulu, seorang Adun Umno Johor menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap penganjur karnival di Bukit Gambir itu susulan kontroversi bendera China pada satu replika roket yang dipamerkan.

Adun Gambir, Sahrihan Jani, juga mahu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program itu jika benar penganjur tidak mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Daerah Tangkak dan pihak keselamatan.

“Saya mengulangi semula desakan supaya tindakan tegas diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival serta-merta.

“Sebarang permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Pemuda Umno Ledang juga sudah membuat laporan polis berhubung isu itu yang dianggapnya sebagai tindakan yang menggugat maruah dan keselamatan negara.

Sebelum ini, tular gambar replika roket dengan bendera China pada bahagian sayap dipamerkan di karnival itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.