
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor menasihatkan jemaah di Masjid Ladang keluar segera selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
“Hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan,” katanya menurut Bernama.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak berkumpul di luar atau sekitar perkarangan masjid kerana dikhuatiri mengganggu kelancaran proses hukuman.
Menurutnya, kira-kira 40 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Masjid Ladang bagi mengawal keselamatan serta kelancaran proses hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan cuba mencetuskan provokasi kepada petugas atau pesalah pada Jumaat ini.
“Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi dibawa masuk ke ruangan hukuman.
“Hukuman telah diputuskan. Saya mohon semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan.”
Mohd Affendi Awang, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum enam sebatan di khalayak ramai.
Dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Kemudian, dia menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di penjara dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Feb lalu.
Pada 20 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai terhadap Affendi atas kesalahan khalwat berulang, yang juga kesalahan ketiganya.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan sebatan hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau tiga tahun penjara berkuat kuasa 1 Jan lalu.