
Pengerusi Mohd Ekhwan Toriman merujuk kepada saluran yang dibuka dengan subsidi kerajaan, dan mengambil sebahagian besar pelajar daripada isi rumah yang memperoleh pendapatan 40% terendah, atau B40.
Sebaliknya, pelajar daripada isi rumah yang memperoleh pendapatan 20% tertinggi (T20) dan antarabangsa akan melalui ‘saluran komersial’.
“Pengambilan pelajar adalah mengikut kaedah ‘over dan above’, iaitu kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan dibuka semula kepada calon yang membuat rayuan,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di ibu negara.
“Mengaitkan saluran komersial dengan ‘perampasan’ tempat B40 menggambarkan kecelaruan dalam kefahaman terhadap tujuan diwujudkan saluran komersial.”
Ekhwan menjawab Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi dan Sains Kedah, Haim Hilman Abdullah yang dilapor mendakwa kemasukan pelajar ke universiti melalui ‘saluran terbuka’ menafikan hak anak-anak golongan miskin, pada satu ceramah.
Ekhwan berkata tidak mungkin Haim, yang juga bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), tidak memahami tujuan saluran komersial dan bagaimana ia dilaksanakan.
“Saluran terbuka atau komersial wujud di UUM ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya.
Ekhwan berkata yuran melalui saluran komersial digunakan oleh universiti untuk membangunkan kemudahan yang digunakan oleh semua pelajar.