
Misalnya, ketika rambut mereka digunting, ada banyak aspek amat mencabar — duduk bagi suatu tempoh lama dengan rambut yang basah, bunyi bising alat seperti pengering rambut, dan wangi-wangian sangat sulit dihadapi mereka, lebih lagi kanak-kanak.
Bak kata generasi sekarang, ‘yang tahu je tahu’, maka tidak hairan Mr D Hair Studio merupakan suatu rahmat bagi ibu bapa.
Kesabaran dan kemahiran Darmalingam Manickam, 72, menggunting rambut kanak-kanak istimewa ini dibentuk oleh pengalaman membesar bersama dan menjaga adik perempuan yang autistik.
“Adik saya juga anak istimewa, jadi bila masuk bidang ini, saya tengok budak-budak yang datang ke sini, mereka (ibu bapa) mengadu banyak tempat lain tak nak (gunting rambut) anak mereka,” katanya kepada FMT di kedainya yang terletak di Bangi.
Secara am, bagi insan autistik, deria sentuhan, bau dan rasa mereka boleh memuncak ke paras menyakitkan, namun cabaran dihadapi setiap insan istimewa ini bergantung pada tahap keterukan autisme yang dialami.

Tular di media sosial video memaparkan Darmalingam, yang mesra disapa ‘Mr D’, gigih menggunting rambut anak autistik sambil berdiri. Bersemuka dengannya, Darmalingam kelihatan seperti seorang datuk yang penyayang, menggayakan ‘waist coat’ kelabu dengan jaket merah, janggut dan misai memutih yang panjang — kemas, bersih dan rapi.
Bagi Darmalingam, menggunting rambut anak autistik melampaui kebijakan perniagaan; ia umpama khidmat untuk memperingati Malini, adiknya yang autistik dan telah meninggal dunia pada 2003 pada usia 45 tahun.
“Bayangkan budak empat tahun boleh tendang orang dewasa empat orang, dahsyat tau. Jadi itulah paling penting…apa pun anda kena jaga kesabaran, tak boleh kasar, kena faham dia.”
Bagi Darmalingam, cabarannya bukan sahaja untuk meyakinkan anak-anak ini membenarkannya menggunting rambut mereka, tapi juga agar mereka boleh sentiasa memanfaatkan khidmat itu seperti insan lain.
“Ada satu pengalaman, dia baru datang dalam satu minggu lepas, (kemudian) dia datang lagi, tak mahu balik. Bayangkan tempat ini jadi penawar rindu dia. ‘Fantastic’!
“Itu yang saya rasa satu kepuasan dalam jiwa,” kata bekas juruteknik Telekom Malaysia Bhd itu, yang sudah 20 tahun mengusahakan Mr D Hair Studio.

Ibu bapa lega
Shida, ibu kepada Adam, salah seorang pelanggan Darmalingam sejak awal tahun lalu, berkongsi bahawa anaknya yang berusia 10 tahun itu sensitif pada bunyi-bunyian yang kuat dan takut dengan bunyi mesin gunting.
Pada hari pertama mendapatkan khidmat Darmalingam, Adam meragam sehingga membuka baju sendiri.

“Uncle layan (Adam) macam cucu. Dia pun ada bagi tip terapi macam-macam, serba sikit dia tahu tentang anak autisme ini,” katanya yang sanggup menempuh perjalanan hampir sejam untuk mengunjungi Mr D Hair Studio.
Seorang lagi ibu kepada anak autistik yang menjadi pelanggan Darmalingam, Bliana Muhammad Halime, berkata kedai gunting lain biasanya akan menolak ‘pelanggan istimewa’.
“Saya rasa Darmalingam ambil masa untuk biasakan diri dengan anak itu dan buat dia selesa,” katanya.
Mengakhiri temu bual, Darmalingam berkata: “Saya akan buat kerja ini untuk anak macam adik perempuan saya, akan jaga mereka macam adik saya.”
Ikuti Mr D Hair Studio di Facebook dan Instagram.
Mr D Hair Studio
24, Jalan 3/70,
Seksyen 3 Bandar Baru Bangi,
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor