Gagal yakin penaja punca sukar dapat tajaan, kata menteri

Gagal yakin penaja punca sukar dapat tajaan, kata menteri

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata industri sukan negara tidak berdepan masalah kekurangan penajaan.

hannah yeoh
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kegagalan mendapat tajaan antaranya berpunca daripada perkara tidak perlu yang dimasukkan dalam cadangan dihantar kepada pihak berpotensi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berpandangan industri sukan negara sebenarnya tidak berdepan masalah kekurangan penajaan, sebaliknya kurang berjaya meyakinkan pihak berpotensi menjadi penaja.

Beliau berkata, kegagalan itu antaranya berpunca daripada perkara tidak perlu yang dimasukkan dalam cadangan dihantar kepada pihak berpotensi.

“Kalau penaja bagi duit, mereka nak ia digunakan untuk pembangunan sukan dan tidak hendak lihat ia digunakan untuk bayar gaji atau bukan-bukan.

“Sama seperti kita juga yang beri geran padanan sukan RM30-40 juta setahun, kita ada buat penilaian senarai perbelanjaan mereka. Kadangkala ada dalam cadangan itu perkara yang kita rasa tidak perlu,” katanya dalam audio siar Sambang di YouTube Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Dalam pada itu, Yeoh menyifatkan pelepasan cukai sukan RM1,000 meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan menjadi pengubah keadaan industri sukan negara.

Malah, beliau gembira pelepasan cukai itu diperluaskan kepada ibu bapa pembayar cukai bermula tahun depan.

“Jika anda pembayar cukai, bukan saja anak bakal mendapat manfaat ini, tetapi juga ibu bapa, datuk nenek mereka.

“Sebab kita nak ada sukan untuk semua golongan dan ini pengubah keadaan yang kita perjuangkan.”

Mengenai perancangan bagi 2025, Yeoh mahu memfokuskan pembangunan belia dan Rakan Muda.

Pada masa sama, beliau akan melancarkan sebuah taska di Kuala Lumpur Sport City bagi atlet mempunyai anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.