
Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin, berkata sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam berhenti mengejut kira-kira 100m dalam keadaan mencurigakan dari kawasan operasi bahagian siasatan penguatkuasaan trafik IPD Setiu kira-kira 9 pagi kelmarin.
Menurutnya, seorang lelaki dipercayai warga tempatan keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke kawasan kebun sawit ketika pasukan trafik menghampiri kenderaan itu.
Beliau berkata, pintu kenderaan itu kemudiannya dibuka dengan bantuan anggota bomba Setiu.
“Hasil pemeriksaan menjumpai enam guni putih setiap satu berisi 35 peket plastik berwarna perak/keemasan bertulis ‘Guan Yin Wang’ berisi ketulan kristal dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 210kg,” katanya menurut Berita Harian.
Khairi berkata, terdapat satu lagi guni putih berisi 30 peket plastik mengandungi dadah disyaki syabu dianggarkan berat 30kg, manakala satu plastik berisi empat peket plastik mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 4kg turut menggunakan bungkusan sama.
Katanya, keseluruhan dadah itu berjumlah 244kg dan boleh digunakan 1.2 juta penagih dengan nilai keseluruhan RM7.8 juta yang juga rampasan dadah terbesar di Terengganu tahun ini.
Dalam operasi sama, menurutnya, polis memeriksa sebuah Mitsubishi Triton dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di depan kedai tayar kira-kira 1km dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, anggotanya melepaskan tembakan ke arah tayar pikap itu kerana lelaki terbabit cuba melanggarnya.
“Pemandu melarikan diri dan kenderaan itu dijumpai di ladang sawit dalam keadaan berkunci tanpa pemandu dan berjaya dibantu dengan bantuan anggota bomba.”
Katanya, nombor pendaftaran asal Toyota Vellfire itu ditemui dalam pikap terbabit dan beliau percaya dadah berkenaan dibawa dari Kelantan untuk dihantar ke pasaran luar Terengganu.
“Usaha mengesan suspek dan pemilik kenderaan giat dijalankan dan kenderaan terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengesan nombor casis serta nombor enjin sebenar,” katanya sambil menambah kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.