Pekerja mengaku salah aib kehormatan rakan wanita

Pekerja mengaku salah aib kehormatan rakan wanita

Lelaki berusia 19 tahun didakwa rakam video rakan sekerjanya di dalam tandas.

Mahkamah Majistret Ampang menetapkan 5 Feb 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda sebelum menjatuhkan hukuman. (Facebook pic)
KUALA LUMPUR:
Seorang pekerja stor sebuah kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang kerana mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam video rakan sekerjanya itu yang sedang ‘melepas hajat’, empat hari lalu.

Lelaki berusia 19 tahun itu didakwa merakam video rakan sekerjanya yang juga merupakan juruwang, di dalam tandas di premis itu di Jalan Ampang Hilir, Hulu Langat pada 8.23 malam, 20 Dis.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani, mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 5 Feb 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda sebelum menjatuhkan hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.