
Presiden Syahril Ahmad Sofian mengingatkan bahawa buli, yang terbit antara lain daripada anggapan bahawa sesuatu perkara boleh diselesaikan secara ganas, bukan perkara baharu malah telah ‘berakar’.
“Idea bagus cuma keperluan dan fungsi perlu dilihat lebih jelas daripada sekadar portal dalam talian untuk laporkan kes buli.
“Saya tak nak ia fungsi tak ada beza dengan melaporkan kepada polis dan sebagainya,” katanya kepada FMT.
Bagi Syahril, institusi pengajian tinggi perlu menerapkan suatu etika yang menolak keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah, namun itu juga belum memadai.
Tegasnya, langkah menangani buli harus bermula seawal peringkat pendidikan awal kanak-kanak.
“Paling penting ibu bapa memastikan ‘mindset’ (penetapan minda) buli dan keganasan tak muncul dalam mana-mana individu,” katanya.
Syahril berkata MPPK menyokong usaha universiti memastikan persekitaran yang selamat, termasuk idea talian penting agar pelajar merasakan aduan diambil lebih serius.
Pada 21 Dis lalu, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia, Mohd Alif Jasni, menggesa IPT wujudkan talian penting bagi membolehkan pelajar membuat aduan segera berkaitan kes buli.
Alif berkata talian itu keperluan mendesak susulan peningkatan kes buli melibatkan pelajar IPT.
Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin menyokong idea menyediakan saluran yang mudah dan selamat untuk pelajar melaporkan kejadian buli ‘tanpa rasa takut’.
“Dengan adanya sistem laporan, tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku buli, membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat,” kata Presiden Muhammad Irfan Ariff Mohd Asri.
Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian seorang Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain, akibat dipukul beramai-ramai menggunakan objek seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.
Selain itu, pada 18 Dis lepas, polis menahan 12 penuntut sebuah IPT di Terengganu yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir di sebuah kolej kediaman.