
Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli, berkata Fama menerusi anak syarikatnya, Famaco juga telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula bulan ini berbanding 180 metrik tan sebelum ini.
Katanya, langkah terbabit bertujuan memastikan bekalan kelapa mencukupi bagi kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.
“Kemasukan bekalan import secara konsisten sejak awal bulan ini telah membantu menstabilkan harga kelapa di pasaran.
“Situasi ini dijangka semakin pulih dan memberi kesan positif kepada pengguna menjelang Januari 2025. Purata harga kelapa tua berada dalam lingkungan RM2.20 hingga RM2.93 sebiji di Semenanjung.
“Berdasarkan pemantauan Fama, bekalan import yang semakin meningkat telah mula mengimbangi permintaan bekalan kelapa di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lalu juga merupakan faktor yang menjejaskan proses pengeluaran buah kelapa di ladang tempatan dan negara pengeksport seperti Indonesia.
“Ia menyebabkan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50% di beberapa pasar utama, termasuk di Lembah Klang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan rungutan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan peniaga berhubung kenaikan mendadak harga kelapa di pasaran sekali gus menyebabkan peniaga santan dalam dilema.
Difahamkan kenaikan mendadak harga kelapa daripada RM2 sebiji sebelum ini kepada RM3.20 sebiji adalah disebabkan kekurangan bekalan dari Indonesia.
Selain itu, Aminuddin berkata proses keseimbangan pasaran di antara bekalan dan permintaan akan mengambil masa berikutan permintaan yang tinggi ekoran musim perayaan.
“Selain itu, Fama sedang memperhebatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pengimport, pemborong dan peruncit, bagi memastikan rantaian bekalan kelapa terus lancar,” katanya.