
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan perincian program Solaris boleh didapati di laman sesawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) www.tnb.com.my.
Ia turut mengumumkan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan bawah Program Net Energy Metering (NEM).
Menurutnya, penambahbaikan melibatkan pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat serta garis panduan terbaharu.
Katanya, program NEM akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) serta menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Kementerian itu berkata, kuota bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
“Selain itu, kuota bawah kategori NEM Nova untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat serta entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.”
Ia memaklumkan semua kuota bawah Program NEM terbuka untuk permohonan pengguna elektrik sehingga 30 Jun depan atau sehingga semua kuota NEM habis diagihkan, mana terdahulu.
Menurutnya, garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan Nova boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga www.st.gov.my, manakala mengenai Program NEM di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari www.seda.gov.my.
Ia turut memaklumkan penambahbaikan bagi pelaksanaan Program NEM dan lanjutan skim Solaris berkuat kuasa 1 Jan depan.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya sentiasa komited memastikan pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh serta menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70% campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050.