
Idham Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata inisiatif dalam Belanjawan 2025 itu mampu menggalakkan pembabitan warga emas dalam komuniti melalui program sukarelawan atau pekerjaan separuh masa, lantas menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti negara.
“Populasi menua boleh memberi tekanan besar kepada sistem ekonomi, terutama dalam mengekalkan nisbah tanggungan yang sihat,” katanya kepada FMT.
Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044. Dalam tempoh kurang tujuh tahun iaitu 2030 Malaysia dijangka mencapai status negara menua apabila 15% jumlah penduduk ialah warga emas.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 18 Okt lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata menerusi pelaksanaan SSPA kadar gaji minimum penjawat awam ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan, dan kumpulan pelaksana bakal menerima pelarasan gaji 15% manakala pengurusan tertinggi naik 7%.
Pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan sekali gus membolehkan kumpulan terbabit menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.
Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk kebajikan warga emas melibatkan elaun bulanan, Rumah Seri Kenangan dan penjagaan harian. Kadar bantuan bagi warga emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dinaikkan kepada RM600 sebulan, berbanding RM500 sebelum ini.
Sementara itu, Idham berkata langkah mengimbangi pembaharuan pencen dan peruntukan kebajikan dijangka membantu negara mencapai kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang.
Katanya, ini penting bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap perbelanjaan awam.
“Pada masa sama ia berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi secara inklusif. Apabila kualiti hidup golongan warga emas bertambah baik maka secara langsung turut membuka peluang kepada perkembangan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sosial,” katanya.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula berkata, langkah sedemikian perlu bagi memastikan produktiviti pekerja meningkat.
Katanya, kerajaan perlu memastikan kualiti hidup rakyat terutama warga emas kekal terjaga.