KLCC Holdings setuju majukan tanah di Bandar Malaysia

KLCC Holdings setuju majukan tanah di Bandar Malaysia

KLCCH umum setuju bangunkan tanah seluas 196.67 hektar, susulan laporan anak syarikatnya beli tanah di Bandar Malaysia.

KLCCH umum ia akan laksana pembangunan berdasarkan daya maju komersial dalam tempoh jangka panjang di Bandar Malaysia.
KUALA LUMPUR:
KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) bersetuju dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Land Sdn Bhd untuk membangunkan tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia.

Perjanjian untuk memperoleh tanah itu dibuat pada 4 Okt 2024, kata KLCCH dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media mengenai anak syarikatnya, KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP), membeli tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia pada harga lebih RM10 bilion.

KLCCP dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata KLCCP bukan pembeli tanah seperti yang dilaporkan oleh portal berita kewangan, The Edge.

“KLCCP mahu memaklumkan bahawa kami bukan pihak yang terlibat dalam urus niaga berkenaan. Kami bukan pembeli tanah seperti yang dilaporkan,” katanya.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berskala besar disasarkan untuk menjadi hab bandar bercampur dengan kemudahan kediaman, komersial dan berorientasikan transit.

KLCCH berkata ia akan melaksanakan pembangunan berdasarkan daya maju komersial dalam tempoh jangka panjang.

“Pembangunan ini dirancang sebagai hab perniagaan antarabangsa dan bandar yang boleh didiami dan inklusif untuk komuniti,” katanya.

Dengan dua daripada pembangunan paling ikonik di negara ini, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Putrajaya, KLCCH berkata bahawa ia telah membuktikan visi strategik dalam pembangunan bandar berskala besar, menetapkan standard dalam perancangan induk dan kelestarian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.