
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, berkata Yeoh gagal membuktikan dakwaan itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah juga menganugerahkan Musa kos RM40,000.
Arziah berkata, ucapan Musa dalam forum di UiTM pada 30 Jan 2020 tidak secara khusus merujuk Yeoh, dan kebanyakan kenyataannya merujuk orang lain.
“Elemen penting ini tidak dibuktikan dengan kebanyakan kandungan yang didakwa berbaur fitnah tidak secara khusus merujuk kepada plaintif,” katanya.
Mahkamah juga mengambil maklum forum tersebut, disiarkan secara langsung di Facebook, mempunyai kadar penglibatan kurang daripada 1%.
“Tiada komen negatif ditujukan kepada plaintif, dan tiada keterangan penyebaran meluas,” kata Arziah sambil menambah Musa tidak mempunyai kawalan terhadap penerbitan ucapannya kerana beliau hanya penceramah jemputan.
Beliau turut mendapati kenyataan Musa tidak berniat jahat.
“Defendan merupakan ketua polis negara dari 2006 hingga 2010, dan mempunyai tanggungjawab moral dan sosial bercakap perkara berkaitan keselamatan nasional.
“Kenyataan beliau hanya berdasarkan analisis akademik (pensyarah) Kamarul Zaman Yusoff,” katanya.
Mahkamah berkata, ‘walaupun ucapan bertanggungjawab penting, tokoh masyarakat mesti menjangka dan bertolak ansur dengan kelasakan kritikan dan perbahasan berkaitan kenyataan dan aktiviti awam mereka’.
Yeoh diwakili peguam Ambiga Sreenevasan, Razlan Hadri Zulkifli, dan Lim Wei Jiet, manakala Khairul Azam Abdul Aziz mewakili Musa.
Lim berkata, mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu hari ini.
Yeoh menyaman Musa pada 2020 atas dakwaannya bahawa beliau cuba menukar Malaysia menjadi negara Kristian.
Musa didakwa berkata demikian dalam forum bahawa kumpulan tidak dinamakan cuba memusnahkan Islam di negara ini. Katanya, ada kaitan kumpulan berkenaan dengan DAP.
Beliau juga didakwa mengatakan, bahawa Yeoh menulis buku ‘untuk menjadikan negara ini negara Kristian’.
Sebelum ini, Yeoh menerbitkan autobiografi, berjudul ‘Becoming Hannah, a Personal Journey’, mengenai perjalanannya sebagai wanita biasa yang kehidupannya berubah melalui kepercayaan Kristian, yang kemudian membawanya ke dunia politik.
Buku itu dikritik pada Mei 2017 oleh ahli sains politik Universiti Utara Malaysia sebagai contoh apa dikatakan hipokrasi DAP berhubung keperluan memisahkan politik daripada agama.
Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan daripada Musa, dan injunksi menghalangnya serta pihak lain daripada terus menerbitkan kenyataan didakwa itu.