Bicara CEO GISBH, 21 individu dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

Bicara CEO GISBH, 21 individu dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

Turut didakwa bersama ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi.

Seramai 22 pegawai tertinggi GISBH yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang tiba di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, isterinya Azura Md Yusof dan 20 individu lain yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Lailatul Zuraida Harron, membuat keputusan itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun, bahawa pihak pendakwaan mendapat keizinan Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

“Saya kemukakan keizinan bagi setiap tertuduh. Pihak pendakwaan memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Norinna.

Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi.

Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, Muhammad Afdaluddin Latif, Mohamad Sayuti Omar, Mohd Fazil Md Jasin, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, Mokhtar Tajuddin, Muhammad Fajrul Islam Khalid, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, Shuhaimi Mohamed, Hasnan Abd Hamid dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri.

Turut dituduh dalam kes ini ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, Nur Jannah Omar, Hamimah Yakub, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, Nurul Jannah Idris, Siti Salmiah Ismail, Siti Hajar Ismail dan Mahani Kasim.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.

“Namun, untuk rekod mahkamah, Azura dan Nasiruddin telah diletakkan dalam penahanan pengasingan masing-masing di Penjara Sungai Buloh (Nasiruddin) dan Penjara Kajang (Azura), dan pasangan suami isteri ini diasingkan lebih sebulan sejak mereka berada di sana.

“Kami akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri dengan sokongan pihak polis supaya arahan pengasingan tersebut dilucutkan dan mereka dipindahkan ke sel biasa. Mohon perkara ini direkodkan dalam mahkamah,” katanya.

Seorang lagi peguam Najib Zakaria berkata, pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara di Mahkamah Tinggi kerana kes ini sedang diperkatakan secara umum yang bersifat subjudis dan dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes.

Pada prosiding hari ini, Rosli dan Najib dibantu peguam Muhammad Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Bestaman Ahmad, serta M Hafiz Zainal Abidin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Pada 23 Okt lalu, Nasiruddin bersama isterinya dan 20 pemimpin tertinggi GISBH didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept lalu.

Mereka yang berumur 27 hingga 72 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.