1MDB saman Amicorp, pengasas atas dakwaan subahat seleweng USD7 bilion

1MDB saman Amicorp, pengasas atas dakwaan subahat seleweng USD7 bilion

1MDB tuntut ganti rugi lebih USD1 bilion daripada penyedia khidmat korporat global itu dan lapan entitinya.

1mdb
1MDB mendakwa Amicorp Group dan pengasasnya, Toine Knipping, membantu pengubahan wang dicuri menerusi transaksi palsu pada 2009 hingga 2014. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
1MDB dan beberapa anak syarikatnya memulakan tindakan undang-undang terhadap Amicorp Group dan pengasas, Toine Knipping atas dakwaan memudahkan pengubahan wang dana diseleweng lebih USD7 bilion (RM31.85 bilion).
Toine Knipping
Toine Knipping.

Tuntutan saman mendakwa Amicorp memainkan peranan penting dalam transaksi palsu pada 2009 hingga 2014, menyaksikan berlaku kecurian dana daripada 1MDB.

Amicorp juga dituduh menyediakan akses kepada sistem kewangan global melalui anak syarikatnya, Amicorp Bank yang berdaftar di Barbados, membenarkan kitaran berulang aset dan penciptaan jejak kertas palsu bagi menutup dana dicuri.

Wang dicuri itu didakwa disalur menerusi jaringan global menjangkau Singapura, Barbados, Curacao, Hong Kong, dan British Virgin Islands (BVI).

“Kami mengambil tindakan menuntut keadilan bagi peranan yang kami dakwa Amicorp memudahkan pengubahan itu dan akhirnya melesapkan berbilion dolar dana yang dicuri,” kata jurucakap Lembaga 1MDB dalam kenyataan.

“Kami mengesyaki perkara ini dicapai melalui penciptaan struktur yang direka untuk mengaburkan kecurian secara sengaja, dan Amicorp dengan sengaja dan secara sedar mencipta struktur kompleks untuk menutupi wang yang dicuri sebagai aset dan menjadikannya sukar dikesan.”

Jurucakap itu berkata, terdapat keterangan kuat mencadangkan Amicorp, di peringkat tertinggi, sedar sepenuhnya pembabitan dalam ‘operasi curang dan pengubahan wang haram’, yang direka untuk mengalihkan dana bagi rakyat Malaysia.

Saman itu difailkan di BVI pada 20 Dis terhadap lapan entiti Amicorp, melibatkan tuntutan ganti rugi lebih USD1 bilion (RM4.55 bilion) daripada penyedia khidmat korporat global itu.

1MDB menuntut Amicorp bertanggungjawab atas ‘kecurangan membantu pelanggaran kewajipan fidusiari dan konspirasi melakukan tindakan menyalahi undang-undang’.

Saman itu difailkan oleh Baker & Partners (BVI) Limited, Tom Smith KC of South Square Chambers, James Bailey of 7 King’s Bench Walk, dan Lim Chee Wee Partnership, bertindak sebagai peguam dalam koordinasi global mendapatkan semula aset 1MDB.

1MDB berkata, Amicorp sebelum ini berdepan tindakan kawal selia dan denda, termasuk di Belanda, Abu Dhabi, Malta, dan BVI kerana gagal patuh dalam pelbagai bidang kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.