16 didakwa ahli Geng Pacific Siva dituduh

16 didakwa ahli Geng Pacific Siva dituduh

16 lelaki dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pacific Siva.

mahkamah
16 lelaki dituduh ikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan, kerana didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang.
BUTTERWORTH:
Sebanyak 16 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Pacific Siva.

Mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma terdiri daripada M Subramaniam, 44, G Tilagarajan, 36, M Kesavan, 39, N Sharvin, 26, T Ligen Kumar, 26, M Dineswaren, 24, P Kirubaagaran, 23, G Meheshkumara, 27 dan M Janagesh, 28.

Turut didakwa R Logeswaaraaj, 30, K Hendry, 44, M Sivasangkaran, 40, M Partiben, 29, S Arunan, 32, S Denneswaran, 28, dan V Alagis, 31.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pacific Siva dalam Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang antara Jun 2016 hingga 26 Nov 2024, kecuali Arunan dan Subramaniam yang didakwa melakukan kesalahan sama antara Feb 2019 hingga 26 Nov 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan dan Lina Hanini Ismail manakala 13 tertuduh diwakili peguam.

Arunan, Alagis dan Subramaniam tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 7 Feb ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 27 Nov lepas, polis menahan 11 lelaki yang disyaki terlibat dengan kumpulan menjalankan kegiatan jenayah terancang dan berleluasa.

Mereka ditahan dalam siri serbuan menerusi Op Cantas Mutiara di sekitar Pulau Pinang oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (B14) dan Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.