Rujuk keputusan mahkamah, ICAC nilai tuduhan terhadap Musa, kata Rahman

Rujuk keputusan mahkamah, ICAC nilai tuduhan terhadap Musa, kata Rahman

Abdul Rahman Dahlan berkata, mahkamah lepaskan Musa daripada tuduhan rasuah, manakala ICAC Hong Kong dapati tiada kes boleh dituduh.

Ahli MKT Umno Abdul Rahman Dahlan berkata, ICAC yang membuat siasatan yang terperinci turut mendapati tiada kes yang boleh dituduh terhadap Musa Aman.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menggesa semua pihak agar menilai tuduhan terhadap Musa Aman dengan merujuk pada keputusan mahkamah dan pihak berkuasa, selepas beberapa pihak mempertikai pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan menegaskan bahawa tiga entiti, iaitu mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara melepaskan bekas ketua menteri itu daripada tuduhan rasuah.

Beliau yakin perkara itu menjadi asas utama kepada tapisan ketat yang dilakukan oleh Istana Negara sebelum mengumumkan pelantikan Musa, 73.

“Jika ada pihak mempertikai perlantikan Musa kerana kononnya ada tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan peguam negara, saya ingin cadangkan mereka merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh ‘Independent Commission Against Corruption (ICAC)’ Hong Kong,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada aduan rasuah oleh seorang Ahli Parlimen kepada ICAC, terhadap Musa.

“ICAC membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa,” katanya.

Rahman berkata, reputasi dan profesionalisme ICAC menjadi piawaian bagi agensi pembanteras rasuah di seluruh dunia, menurut badan pemantau rasuah, Transparency International.

“Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai,” katanya.

Rahman turut mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor langsung tidak terlibat dalam keputusan mahkamah, SPRM dan peguam negara.

“Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu,” tambahnya.

Rahman menegaskan hak setiap rakyat untuk memberi pandangan dilindungi oleh undang-undang ‘selagi ianya tidak mengandungi unsur-unsur fitnah, tidak melanggar undang-undang, dan tidak menghasut’, terutama terhadap institusi Agong.

“Persoalan yang timbul sekarang adalah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak?

“Sudah tentu rujukan utama kita adalah keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, SPRM dan peguam negara. Ketiga-tiga entiti ini telah melepaskan Musa daripada tuduhan rasuah,” katanya.

Musa, yang juga bekas ketua menteri Sabah selama lima penggal, dilantik bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028, menggantikan Juhar Mahiruddin.

Mahkamah Tinggi pada Jun 2020 melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) ketika itu, Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat, kes terhadap Musa digugurkan selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan pada Mei tahun sama.

Tambahnya, ICAC memaklumkan melalui surat bertarikh 22 Dis 2011 bahawa siasatannya terhadap Musa sudah lengkap dan berdasarkan fakta-fakta yang diketahui, tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan, lapor Berita Harian.

SPRM membuka kes terhadap Musa pada 2009 yang kemudian memulakan siasatan ICAC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.