
Dalam catatan di X, Zaid berkata, Malaysia boleh mencontohi sistem diguna pakai United Kingdom (UK), yang menghendaki peguam negara menjadi Ahli Parlimen.
Peguam Negara England dan Wales dan Peguambela Agung Ireland Utara, Richard Hermer, adalah ahli Dewan Pertuanan dalam Parlimen UK.
Zaid mengulas demikian susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam, bahawa beberapa kes selepas PRU 2018 cacat dan dibuat terburu-buru, selain ada bermotif politik.
Zaid berkata, bekas perdana menteri, Najib Razak, didakwa paling menderita di bawah “ketidakadilan”, dan pentadbiran Anwar perlu membuat pindaan sistem bagi mengelak berulangnya kes seperti itu.
Beliau berkata, pejabat pendakwa raya mesti bebas daripada Jabatan Peguam Negara dan menggesa pengasingan perkhidmatan perundangan dan kehakiman.
“Ia sepatutnya menjadi unit bebas dan didanai secara berasingan. Biarkan ia dioperasikan oleh kerajaan dan peguam swasta, yang mana lantikan dan jaminan penggal berkhidmat tidak bergantung kepada peguam negara.
“Perubahan seperti itu akan menamatkan zaman peguam negara menutup mulut dan tidak bertanggungjawab kepada orang ramai (atas tindakan pejabat pendakwa raya),” katanya.
Semalam, Anwar berkata, Jemaah Menteri telah menerima cadangan pembahagian fungsi antara peguam negara dan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara.
Draf kertas Jemaah Menteri mengenai perkara itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan.