KBS kecam pergaduhan penyokong bola sepak di stesen LRT

KBS kecam pergaduhan penyokong bola sepak di stesen LRT

Menterinya Hannah Yeoh berkata beliau berharap insiden seperti itu hingga merosakkan harta benda awam tidak akan berulang lagi.

hooligan bodo
Polis sedang mengesan pelaku insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan yang tular di media sosial.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengecam tindakan sekumpulan penyokong bola sepak yang mencetuskan pergaduhan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling, kelmarin.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun tidak bermakna boleh bertindak sewenang-wenangnya hingga menyebabkan kerosakan aset kerajaan dan harta benda awam.

“Jadi kalau mereka lihat …ini aset Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) tak payah jaga, sangat mengarut. Saya berharap tak ada lagi perkara seperti ini akan berlaku.

“Kemudahan Prasarana selalunya mereka panjangkan masa perkhidmatan untuk menyenangkan penyokong bola sepak, jadi kita kena balas dengan adab,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Liga Bolasepak Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Merdeka di sini malam tadi.

Prasarana semalam memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan tersebut di Balai Polis Sungai Besi.

Insiden yang berlaku pada 12 tengah malam itu dilaporkan telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen termasuk bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform berkenaan namun tiada kecederaan.

Ketua Polis Cheras ACP Aidil Bolhassan pula mengesahkan kejadian tersebut melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah dan menendang pintu tren hingga menyebabkan kerosakan.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Hannah menghormati kesungguhan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa berusaha memajukan arena bola sepak tanah air ke satu tahap lebih gemilang.

“Saya tahu semua orang teruja dengan rancangan baharu pada 2025. Saya bekerja rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Semua ini saya biarkan FAM uruskan. Untuk kerajaan kita bagi dana, kita bagi sokongan tetapi kita juga nak tengok prestasi dan ada KPI-nya lah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.