

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata perkembangan itu disifatkan serius kerana berisiko menjejaskan sektor kesihatan awam jika tenaga kerja semakin berkurangan.
Sehubungan itu, beliau menyokong gesaan Senator Dr RA Lingeshwaran supaya sebuah jawatankuasa khas terdiri pihak berkepentingan penjagaan kesihatan, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia dan doktor sektor awam ditubuhkan untuk mencari jalan.
“Jawatankuasa ini perlu babitkan semua pemegang taruh untuk kaji faktor penyumbang selain penyelesaian,” katanya kepada FMT.
Dalam jawapan bertulis kepada Lingeshwaran, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata 6,417 pegawai perubatan kekal serta kontrak meletak jawatan antara 2019 dan 2023.
Seramai 1,046 pakar meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama, dengan 63 daripadanya memilih bersara awal selepas mencapai usia 50 tahun.
Antara sebabnya termasuk peluang lebih baik dalam sektor swasta, bersara awal, isu kesihatan, sebab peribadi, peralihan kerjaya untuk mengajar dan kekurangan sokongan profesional.
Semalam, FMT melaporkan keluhan beberapa bekas pegawai perubatan yang mendakwa beban tugas berat dengan gaji tidak setimpal menjadi punca mereka keluar daripada perkhidmatan kesihatan awam.

Pakar perubatan dan aktivis kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar berkata isu itu jika tidak ditangani dengan segera akan mengganggu perkhidmatan kesihatan negara.
Senada dengan Jamaluddin, Zainal turut menekankan kepentingan pembabitan semua pemegang taruh untuk mencari penyelesaian kukuh.
“Perlu ada perbincangan semua pihak, Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara adalah satu cadangan baik dan diyakini dapat membantu selesaikan masalah itu,” katanya.