Tiada isu bekalan makanan kurang akibat banjir, kata menteri

Tiada isu bekalan makanan kurang akibat banjir, kata menteri

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerjasama baik antara negara Asean membolehkan bekalan makanan diimport.

mohamad sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu kerajaan berusaha untuk membuka jelapang ketiga dan keempat iaitu di Sarawak dan di Sabah ke arah menjamin sekuriti makanan.
PETALING JAYA:
Banjir besar yang melanda beberapa negeri sebelum ini tidak menyebabkan negara mengalami masalah kekurangan bekalan makanan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Mohamad berkata negara tidak berdepan dengan isu kekurangan bekalan makanan kerana kerjasama baik antara negara Asean membolehkan bekalan makanan diimport, lapor Sinar Harian.

Beliau turut memberi contoh Singapura yang banyak bergantung dengan negara Asean untuk mendapatkan bekalan makanan seperti beras, ayam, daging, sayur-sayuran.

“Di mana dia (Singapura) dapat ayam? Dia labur di Johor, di mana dia dapat padi? Tentulah dia ada kerjasama di Vietnam ataupun Thailand. Mana dia dapat daging dan sebagainya? tentulah ada kerjasama dengan Australia.

“Kita sekarang pun perlu begitu dan tidak boleh lagi bergerak secara silo. Ini kerana sesama negara Asean menjalin kerjasama baik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan konvensyen Amanah di Johor Bahru.

Pada 10 Dis lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup memberitahu Dewan Rakyat, Malaysia kehilangan potensi hasil 5.3 juta pek beras 10kg akibat bencana banjir setakat ini.

Katanya, jumlah potensi yang hilang akibat bencana ‘luar biasa’ ini, katanya, memberikan kesan besar kepada bekalan beras putih di negara ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga presiden Amanah berkata, kerajaan berusaha untuk membuka jelapang ketiga dan keempat iaitu di Sarawak dan di Sabah ke arah menjamin sekuriti makanan.

“Premier Sarawak, Abang Johari Openg ambil berat isu ini dan memperuntukkan RM500 juta untuk membangunkan saliran bagi fasa pertama ini.

“Premier Sarawak turut memberitahu dalam masa 10 tahun lagi Sarawak mampu mengeksport beras,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.