
Pemimpin dua komponen itu berpendapat, kenyataan berkenaan hanya retorik menjelang pilihan raya yang tidak sesuai mengambil kira keperluan kerjasama erat dengan Putrajaya dianggotai pelbagai pihak termasuk parti nasional.
Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin, berkata sejarah politik membuktikan kenyataan negatif seolah-olah Sabah tidak memerlukan persekutuan hanya menyebabkan negeri itu berdepan pelbagai krisis yang merencatkan pembangunan diperlukan rakyatnya.
Beliau mendakwa, contohnya ketika pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS) selama sembilan tahun pada era 80-an, sikap anti-Semenanjung pemimpinnya ketika itu mengakibatkan segala pembangunan dirancang terjejas.

“Isu antiparti Malaya akan sentiasa timbul dan dibincang apabila dekat PRN atau PRU, tetapi dalam masa sama mereka bekerjasama membentuk kerajaan negeri dengan beberapa pemimpin parti Malaya,?” katanya merujuk sentimen dimainkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan.
Menurut laporan media, Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah antara lain melabel parti politik berpangkalan di Semenanjung sebagai ‘penjajah’ manakala pemimpin mereka di Sabah dikatakan ‘pengkhianat’ dalam satu program, awal bulan ini.
Sentimen itu turut dimainkan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar PN kerana mendakwa hasrat gabungan itu mahu bertanding PRN bertentangan prinsipnya supaya semua 73 kerusi DUN hanya ditandingi parti tempatan.

Senada dengan Bung, Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, menyifatkan retorik itu hanya kuat kedengaran apabila pilihan raya semakin dekat, namun realiti politik menunjukkan semua parti perlu bekerjasama untuk memajukan negeri di bawah bayu itu.
“Bagi saya tiada istilah parti tempatan atau luar sebab nak bangunkan sesebuah negeri tak bergantung dengan pihak mana tapi kerjasama erat dengan pusat.
“Macam mahu perjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu kerjasama erat dengan pusat untuk jayakan, kalau tak susah hendak pergi…apa lagi membabitkan pembangunan lain,” katanya.