Saya tak setuju tindakan terhadap Fahmi Reza, kata PM

Saya tak setuju tindakan terhadap Fahmi Reza, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, bukan semua kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

fahmi reza
Polis sedang menyiasat Fahmi Reza berhubung karikaturnya menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak percaya tindakan perlu diambil terhadap aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza berhubung karikaturnya baru-baru ini yang menimbulkan kontroversi.

“Saya tidak setuju (Fahmi Reza) didakwa dan ditangkap,” katanya pada sidang media hari ini.

“Bukan semua kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.”

Fahmi sedang disiasat oleh Bukit Aman bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan.

Anwar juga berkata Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia masih diperlukan bagi kes melibatkan pornografi dan buli siber, memetik kes pempengaruh A Rajeswary.

Katanya, beliau tidak boleh menghalang pihak berkuasa bertindak dalam soal kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Disebabkan mereka (institusi diraja) bukan dalam ‘permainan’, mereka tidak boleh beri respons. Kadangkala, ada juga kenyataan provokatif yang menyentuh sentimen perkauman dan agama.

“Saya tidak setuju tindakan diambil dalam semua kes, tetapi kita tidak setuju kritikan berkaitan kaum dan agama,” katanya.

Rajeswary, 29, ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur, pada 5 Julai. Sehari sebelum itu, aktivis hak Hindu yang juga dikenali sebagai Esha itu memfailkan laporan polis terhadap dua individu kerana didakwa mengganggunya di TikTok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.