
Bercakap kepada FMT, bekas pegawai perubatan berusia 31 tahun itu berkata beliau bertugas di hospital terbabit selama tiga tahun sebelum meletak jawatan pada 2021 kerana tekanan kerja tinggi lebih-lebih lagi berlaku penularan Covid-19.
Syahidul mendakwa, gaji asas sekitar RM3,000 sebulan dan tidak termasuk elaun itu disifatkannya tidak berbaloi dengan kepenatannya termasuk sering ‘on call’ (bersedia bertugas pada luar waktu pejabat).
“Bayaran itu dengan tanggungjawab tinggi dilihat tidak setimpal,” katanya yang kini bekerja di klinik swasta dengan menerima gaji asas RM8,000 sebulan.
Beliau senada dengan kebimbangan Senator Dr RA Lingeshwaran yang bimbang dengan perkembangan purata tiga doktor meninggalkan perkhidmatan awam setiap hari sejak lima tahun lalu.
Dalam jawapan bertulis kepada Lingeshwaran, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata 6,417 pegawai perubatan kekal serta kontrak meletak jawatan antara 2019 dan 2023.
Antara sebabnya termasuk peluang lebih baik dalam sektor swasta, bersara awal, isu kesihatan, peribadi, peralihan kerjaya untuk mengajar dan kekurangan sokongan profesional.
Dakwa Syahidul, isu itu seolah-olah tiada penyelesaian mungkin kerana ada pengurusan KKM tidak faham dengan bebanan kerja doktor dan staf lain yang dilayan macam robot.
“Tubuhlah jawatankuasa apa atau menteri itu ada rekod baik, jika isu ini tidak mampu diselesaikan ia akan terus berlanjutan.”
Sementara itu, seorang bekas pegawai perubatan hanya mahu dikenali Firdaus berkata beliau meninggalkan perkhidmatan awam pada 2021 selepas lima tahun berkhidmat kerana beban kerja tinggi dan tidak melihat ada jalan penyelesaian.
“Sebenarnya kalau ikutkan tiada siapa mahu keluar dan berkhidmat dengan kerajaan.
“Tetapi penyelesaian diberikan hanya bersifat sementara dan langsung tidak memihak kepada kami,” kata doktor berusia 30 tahun itu yang kini bekerja di klinik swasta.
Menurutnya, kadar penggajian tidak progresif juga menyebabkan ramai doktor enggan kembali ke sektor perubatan awam.
“Tawaran gaji dan persekitaran atau kualiti hidup lebih baik di luar sektor awam membuatkan ramai enggan kembali,” katanya.