Malaysia akan suai diri dengan era Trump, kata Anwar

Malaysia akan suai diri dengan era Trump, kata Anwar

Perdana menteri berkata, Malaysia bersedia mengadakan libat urus dengan pentadbiran Trump.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan AS sebagai pelabur kumulatif utama Malaysia, di samping kuasa besar global lain seperti China dan Jerman. (Gambar Facebook)
SUBANG:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin Malaysia mampu menjaga keutamaan dasar luar dan ekonominya di tengah-tengah perubahan dinamik global, dengan Donald Trump dijangka kembali ke Rumah Putih pada Januari.

Menekankan bahawa Malaysia bersedia mengadakan libat urus dengan pentadbiran Trump, Anwar berkata, penting bagi negara mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Amerika Syarikat (AS), terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi.

Malah, katanya, Malaysia memulakan libat urus awal dengan pasukan Trump untuk memastikan kesinambungan hubungan dua hala yang erat dengan AS, rakan dagang dan pelaburan utama negara.

“Ramai anggota pasukan saya telah berkomunikasi dengan pasukan berpotensi Presiden Trump, dan setakat ini, usaha awal ini agak positif,” katanya pada sidang media hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa.

Anwar menegaskan kepentingan AS sebagai pelabur kumulatif utama Malaysia, di samping kuasa besar global lain seperti China dan Jerman.

“Hubungan kita dengan pemain utama ini kekal baik, Google dan lain-lain syarikat teknologi utama Amerika masih berada pada tahap yang sangat baik,” katanya.

Beliau mengakui kebimbangan mengenai kemungkinan perubahan dalam hubungan AS-China bawah kepimpinan Trump tetapi menekankan pendekatan Malaysia untuk memupuk hubungan seimbang dengan kuasa besar dunia.

Beliau berkata, pragmatisme dan keterlibatan strategik akan menjadi kunci kepada kestabilan dan pertumbuhan di rantau ini.

“Presiden Trump seorang yang pragmatik dan mempunyai kepintaran dalam perniagaan yang kuat. Kita mesti memastikan Malaysia terus mendapat manfaat daripada hubungan positif dengan AS sambil mengekalkan kestabilan serantau,” katanya.

Anwar turut mengulangi tumpuan Malaysia terhadap kepusatan Asean, dengan menegaskan bahawa kekuatan kolektif blok itu akan memainkan peranan penting dalam menghadapi kerumitan ketegangan AS-China di bawah pentadbiran baharu.

Trump dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47 pada 20 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.