Kerja guna IC palsu, ratusan warga asing ‘diangkut’

Kerja guna IC palsu, ratusan warga asing ‘diangkut’

Pengarah Imigresen Johor Mohd Rusdi Mohd Darus berkata tangkapan libat 74 lelaki dan 54 lelaki.

kad pengenalan palsu
Imigresen Johor menangkap ratusan warga asing yang bekerja menggunakan kad pengenalan palsu. (Gambar Imigresen)
PETALING JAYA:
Ratusan warga asing ditahan kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di sebuah kilang di Senai, Johor.

Serbuan ke atas perusahaan itu dibuat pada 19 Dis, susulan tangkapan empat warga asing atas kesalahan sama beberapa hari sebelum itu.

Pengarah Imigresen Johor Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata pihaknya menangkap antaranya 74 lelaki dan 54 wanita warga asing, dalam Ops Mahir bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor.

“Dalam serbuan ini, seramai 292 warga asing dan tempatan diperiksa dan 129 individu telah ditahan.

“Hasil siasatan awal mendapati, sejumlah warga asing tersebut menggunakan dokumen pengenalan diri warga tempatan untuk memohon kerja,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Rusdi berkata, pihaknya komited terus memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis, dan individu menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.