
Dalam satu hantaran di X, Dzulkefly berkata peletakan jawatan 3,200 pegawai perubatan (MO) tersebut adalah “sebahagian daripada prosedur ditetapkan”.
Beliau turut menyatakan bahawa sebahagian doktor berhijrah ke akademik dan masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.
“Walaupun demikian, isu penghijrahan bakat kekal menjadi cabaran besar dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan.
“Walaupun kami tidak dapat sepenuhnya menghalang MO dan pakar daripada berpindah ke sektor swasta, Kami memperkenalkan pelbagai strategi untuk mengekalkan mereka,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata seramai 6,417 pegawai perubatan tetap dan kontrak meletak jawatan antara 2019 hingga 2023.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut merekodkan peletakan jawatan 1,046 pakar perubatan dalam tempoh yang sama, dengan 63 daripadanya memilih untuk bersara awal.
Laporan itu menyebabkan pakar nefrologi Dr Rafidah Abdullah mempersoalkan strategi KKM dalam mengekalkan pegawai perubatan dan menyifatkan kementerian mungkin “menutup mata kerana perkara ini dianggap biasa”.
Rafidah juga berkata bahawa “keadaan sebenar di lapangan” tidak baik dan ada keperluan untuk memutuskan kitaran tersebut.
Dalam hantaran itu, Dzulkefly berkata beberapa langkah jangka pendek dilaksanakan oleh kementerian untuk mengekalkan MO, termasuk pelarasan gaji, jadual kerja fleksibel, dan membenarkan amalan locum.
“Kami komited untuk terus meningkatkan keseimbangan kerja-hidup serta kebajikan keseluruhan profesional perubatan kami,” katanya.
Beliau juga berkata kementerian mempunyai langkah jangka sederhana menerusi inisiatif “Rakan KKM Partnership”, yang disifatkan sebagai pemangkin perubahan untuk mengurangkan kadar penghijrahan tenaga kerja profesional kesihatan.