Remaja parah motosikal langgar kereta polis elak anjing

Remaja parah motosikal langgar kereta polis elak anjing

Ketua Polis Jeli Saari Yaacob berkata kemalangan menyebabkan remaja lelaki 17 tahun parah di muka dan patah tangan kanan.

Ketua Polis Jeli, Saari Yaacob berkata siasatan kemalangan itu masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang remaja lelaki 17 tahun parah selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta peronda polis di KM10 Jalan Jeli-Dabong di Jeli, Kelantan malam tadi.

Ketua Polis Jeli, Saari Yaacob berkata kemalangan yang berlaku pada jam 9.20 malam itu dipercayai berpunca apabila kereta peronda polis itu cuba mengelak anjing yang melintas jalan.

Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta peronda polis jenis Honda Civic dan sebuah motosikal jenis honda EX5 dinaiki remaja lelaki berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kereta peronda dipandu dari arah Kuala Balah ke Jeli dan cuba mengelak anjing yang tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Pada masa yang sama sebuah motosikal yang datang dari arah belakang melanggar sisi kanan kereta peronda terbabit,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.

Saari berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut mengalami cedera parah di muka dan patah tangan kanan.

“Bantuan awal diberikan di tempat kejadian oleh pihak polis dan orang awam. Mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan kemalangan itu masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD jeli di talian 09-9440222 untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.