Polis terima 26 laporan skim pelaburan ketua sindiket ditahan di Thailand

Polis terima 26 laporan skim pelaburan ketua sindiket ditahan di Thailand

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata laporan itu berkait dua aplikasi pelaburan dengan kerugian sebanyak RM8,552,837.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menyiasat 26 laporan berkait skim pelaburan ‘Nicshare’ dan ‘CommonApps’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menerima 26 laporan berkaitan skim pelaburan ‘Nicshare’ dan ‘CommonApps’ dikaitkan dengan sindiket penipuan diketuai rakyat negara ini yang ditahan pihak berkuasa Thailand pada 16 Dis lalu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kerugian melibatkan skim pelaburan Nicshare adalah sebanyak RM8,212,758 melibatkan 24 laporan manakala dua laporan berkaitan Commonapps membabitkan kerugian berjumlah RM340,079.

“Siasatan terhadap semua laporan ini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sehingga kini beberapa suspek dan entiti berjaya dituduh dan siasatan terhadap skim berkenaan masih berjalan termasuk kaitan antara rakyat negara ini yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

Semalam, media melaporkan polis Thailand percaya membanteras sindiket penipuan utama yang melakukan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (RM650.5 juta) melalui rangkaian transaksi palsu, susulan penahanan seorang ketua kumpulan rakyat Malaysia dan isterinya warga Thailand.

Lelaki berusia 38 tahun itu, yang dikehendaki di bawah waran dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah, ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di Songkhla ketika memasuki Thailand pada 16 Dis dan isterinya yang juga terlibat dalam skim itu, ditangkap di lokasi berbeza pada 18 Dis.

Tangkapan itu berikutan aduan daripada ramai mangsa yang diperdaya untuk melabur melalui aplikasi mudah alih palsu, termasuk ‘Nicshare’ dan ‘CommonApps’, yang aplikasi berkenaan secara palsu menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan pasaran saham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.