
James Chin dari Universiti Tasmania berkata ‘mustahil’ bagi Jeffrey untuk memimpin Sabah memandangkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hanya menduduki enam daripada 79 kerusi di dewan legislatif negeri.
“Itulah sebab mengapa STAR ingin bergabung dengan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya kepada FMT.
Prospek penggabungan dua parti pribumi itu kelihatan menjana momentum, dengan penubuhan sebuah badan khas untuk membincangkan kebolehlaksanaan idea suatu pakatan antara mereka. PBS kini mempunyai tujuh kerusi.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Kitingan perlukan sokongan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah untuk menjadi ketua menteri, terutamanya dokongan Parti Gagasan Rakyat Sabah yang dipimpin ketua menteri sekarang, Hajiji Noor. Gagasan Rakyat memegang 26 daripada 42 kerusi GRS.
“Walaupun presiden STAR mempunyai kelayakan yang baik (untuk jadi ketua menteri), sokongan politik yang mencukupi adalah penting untuk memenuhi keperluan Perlembagaan Sabah,” katanya.
Umno Sabah menggesa Kitingan menggantikan Hajiji berikutan dakwaan skandal perlombongan yang dikaitkan dengan beberapa Adun.
STAR, bagaimanapun, teguh bersama Hajiji, dengan Kitingan membidas Pemuda Umno Sabah kerana menuntut ketua menteri meletak jawatan.
STAR pada Rabu menegaskan sokongan kepada Hajiji, dan mengecilkan dakwaan ketua wanitanya, Kerry Chee, bahawa Kitingan calon terbaik untuk menjadi ketua menteri.
Timbalan Ketua Penerangan Ardino Diris kata Chee hanya menyuarakan pandangan peribadi dan bukan pendirian parti. Katanya tidak timbul isu siapa perlu ambil alih jawatan ketua menteri, dan semua pihak harus menyokong kepimpinan Hajiji.
Chin berkata komen Chee itu tidak seharusnya dipandang serius kerana dia dan Kitingan dalam parti yang sama.
“Sudah tentu dia akan memuji presiden sendiri,” katanya, namun berkata Chin menyebabkan dirinya ditertawakan apabila memuji-memuji Jeffrey.
Bilcher berkata komen Chee mungkin bertujuan untuk menunjukkan sokongan dan keyakinan pada kepimpinan presidennya, terutama dalam situasi politik yang tidak menentu.
Bagaimanapun, pandangan itu mungkin menimbulkan spekulasi dalam kalangan ahli politik GRS, lantas boleh menjejaskan hubungan antara Hajiji dan Jeffrey.
“Sama ada ia merupakan tindakan melobi secara langsung atau tidak, bergantung kepada perspektif dan interpretasi individu,” katanya.