Kos berubat, ‘bom jangka’ menunggu kelas pertengahan

Kos berubat, ‘bom jangka’ menunggu kelas pertengahan

Lonjakan inflasi perubatan dan premium insurans membawa malapetaka kewangan yang dijangka berlaku kepada ramai rakyat.

Covid19
Ramai kelas pertengahan berisiko dihimpit masalah kewangan kesan bil perubatan tidak dijangka. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kelas pertengahan berdepan krisis penjagaan perubatan apabila premium insuran perubatan melambung, mendedahkan mereka kepada malapetaka perbelanjaan kesihatan, kata seorang pakar kesihatan awam.

Peningkatan inflasi kesihatan menjadikan syarikat insurans dan takaful mencadangkan kenaikan premium antara 40% dan 70% tahun depan, sekali gus mengakibatkan ramai enggan lagi menanggung polisi insurans kesihatan.

Perunding kesihatan awam dan pakar perubatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata kenaikan premium insurans perubatan berkemungkinan mendorong lebih ramai isi rumah M40 (berpendapatan sederhana) dan pesara mempertimbang semula atau menamatkan polisi mereka.

“Kelas pertengahan, sedia ada terhimpit dengan pertumbuhan pendapatan tidak berkembang dan kos sara hidup, mungkin mendapati berdepan cabaran untuk mengekalkan premium, menyebabkan mereka terdedah kepada perbelanjaan kesihatan merugikan.

“Jadi, ya…ia mewujudkan jangkaan ‘bom jangka’ di mana kelas pertengahan Malaysia berisiko mengalami ketidaktentuan kewangan disebabkan bil perubatan di luar jangka, memaksa ramai beralih kepada sistem kesihatan awam yang sedia berdepan tekanan,” katanya.

Feisul, yang juga pengarah kesihatan Perak, berkata lonjakan kelas pertengahan berganjak daripada penjagaan kesihatan swasta kepada awam akan memburukkan lagi cabaran didepani sistem kesihatan awam.

“Ia termasuk kemudahan sesak, masa menunggu panjang, dan beban berlebihan pekerja penjagaan kesihatan.

“Sebagai contoh di Perak, kami mendapati berlaku peningkatan permintaan di hospital awam, terutama bagi khidmat pakar dan pengurusan penyakit kronik, jauh sebelum peningkatan premium insurans kesihatan,” katanya kepada FMT.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), negara merekodkan 12.6% inflasi kos perubatan pada 2023, lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6%, meningkat daripada 12% pada 2022.

Katanya, inflasi kos perubatan, dipacu peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD), pertambahan populasi menua, dan kemajuan perubatan yang mahal, pastinya memberi tekanan kewangan kepada syarikat insurans.

Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial bersetuju lonjakan inflasi perubatan dan premium insurans merupakan bencana kewangan menunggu akan berlaku kepada ramai rakyat.

“Berdepan peningkatan premium 20% sehingga mengejut sampai 200%, ramai memutuskan lebih baik menamatkan polisi diambil, dan memberi peluang kepada sistem penjagaan kesihatan awam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Mohd Khalib.

Katanya, memandangkan insurans kesihatan tidak lagi mampu milik, berkemungkinan lebih ramai orang ramai tidak mempunyai insurans.

Kurang kawal selia

Azrul berkata, menjadi kesilapan mengalihkan kebertanggungjawaban mengurangkan inflasi perubatan di bahu pemegang polisi, pesakit, keluarga mereka, dan masyarakat.

“Sepatutnya ia peranan pengawal selia. Kenaikan premium insurans perubatan tidak berlaku dalam vakum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.