14 barangan skim kawalan harga sempena Krismas

14 barangan skim kawalan harga sempena Krismas

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Krismas akan berlangsung lima hari berkuat kuasa 23 hingga 27 Dis.

Kerajaan berharap semua pihak mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 14 jenis barangan diwartakan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Krismas 2024 selama lima hari bermula 23 hingga 27 Dis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata barangan itu ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import dari China dan Indonesia, lobak merah, cili merah, ubi kentang import China, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).

Katanya, empat lagi barangan terlibat dalam skim itu adalah barangan dikawal di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu kepak ayam, daging babi (lemak), dan daging babi (daging dan lemak).

“Manakala kawalan bekalan ayam tua hidup hanya dilakukan di Sarawak. Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran SHMMP Krismas 2024.

Armizan berkata, SHMMP Krismas 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.

Beliau berkata, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Krismas 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.

“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. (Ini) bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.

“Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu,” katanya.

Katanya, kerajaan berharap semua pihak mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal.

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bawah AKHAP 2011 boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, atau kompaun RM50,000 bagi individu.

Manakala, syarikat pula boleh dikenakan penalti hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000.

Kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal akan dikenakan denda hingga RM10,000 atau kompaun hingga RM5,000 bagi individu manakala denda hingga RM20,000 atau kompaun hingga RM10,000 akan dikenakan terhadap syarikat.

Sempena pengumuman SHMMP Krismas 2024, Armizan turut melancarkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas 2024.

Ia adalah inisiatif baharu dilaksanakan KPDN bermula tahun ini untuk menganjurkan PJRM bagi setiap sambutan perayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.