Sektor kesihatan awam hilang 3 doktor sehari sejak 2019, kata senator

Sektor kesihatan awam hilang 3 doktor sehari sejak 2019, kata senator

Senator Dr RA Lingeshwaran menggesa jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mencari penyelesaian bagi mengekalkan doktor di hospital kerajaan.

doctor
Seramai 6,417 pegawai perubatan serta 1,046 pakar meninggalkan perkhidmatan awam antara 2019 dan akhir tahun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Purata tiga doktor meninggalkan perkhidmatan awam setiap hari sejak lima tahun lalu, statistik yang disifatkan seorang senator membimbangkan.

Dalam jawapan bertulis kepada Dr RA Lingeshwaran, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata 6,417 pegawai perubatan kekal serta kontrak meletak jawatan antara 2019 dan 2023.

Seramai 1,046 pakar meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama, dengan 63 daripadanya memilih bersara awal selepas mencapai usia 50 tahun.

Antara sebabnya termasuk peluang lebih baik dalam sektor swasta, bersara awal, isu kesihatan, sebab peribadi, peralihan kerjaya untuk mengajar dan kekurangan sokongan profesional.

RA Lingeshwaran
Dr RA Lingeshwaran.

“Angka itu membimbangkan dan memerlukan campur tangan segera pihak berkuasa bagi membendung arus semakin meningkat sejak empat tahun lalu khasnya.

“Dua sebab utama yang saya fikir ialah gaji lebih baik dan kurang tekanan dalam sektor swasta,” kata Lingeshwaran kepada FMT.

Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap itu berkata, waktu kerja lebih panjang dan tekanan tinggi di hospital awam, ditambah isu seperti buli, boleh menjejaskan profesional perubatan.

“Isu ini mesti ditangani segera.”

Lingeshwaran berkata, cadangan kenaikan premium insurans perubatan boleh menyebabkan ramai memilih jalan keluar, seterusnya membebankan institusi kesihatan awam yang sudah terbeban.

“Jika jumlah doktor dan pakar yang meninggalkan perkhidmatan awam terus meningkat, sistem penjagaan kesihatan akan rosak.”

Beliau mencadangkan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada pihak berkepentingan penjagaan kesihatan, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia dan doktor sektor awam ditubuhkan untuk mencari jalan mengekalkan profesional.

“Saya sangat percaya dengan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan berasingan perlu mempunyai autonomi untuk membuat keputusan tertentu dengan segera. Sektor ini terlalu penting untuk diletakkan bersama semua perkhidmatan kerajaan lain.”

Menurut jawapan KKM, ia kini menggaji 298,853 orang, termasuk 44,155 pegawai perubatan dan 7,638 pakar.

Selangor mendahului senarai itu dengan 6,274 pegawai perubatan dan 1,446 pakar, diikuti Johor (3,839 dan 705), Sabah (3,362 dan 534) serta Perak (3,309 dan 609).

Negeri lain – termasuk Sarawak, Kedah, Kelantan dan Pahang, serta Kuala Lumpur dan Putrajaya – dengan jumlah lebih kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.