
Hakim K Muniandy berkata, pertuduhan dikenakan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak adalah menyalahi undang-undang dan cacat kerana ia tidak mematuhi peruntukan Kanun Tatacara Jenayah.
“Pertuduhan itu adalah bertindih dan berbilang. Tambahan pula, ia tidak mendedahkan sebarang kesalahan,” katanya.
Muniandy berkata, beliau menggunakan bidang kuasa asalnya dan kuasa sedia ada sebagai hakim bicara untuk melepas dan membebaskan tertuduh.
Rosmah, 72, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau masih menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kes rasuah RM1.25 bilion projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah itu akan mendengar rayuannya pada 5 Mac untuk membatalkan kelayakan hakim perbicaraan Zaini Mazlan, yang mensabitkannya dalam kes itu. Jika ditolak, mahkamah akan meneruskan untuk mendengar merit rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukumannya pada 19 Mac.
Pada September 2022, Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah melakukan rasuah berhubung projek bernilai RM1.25 bilion itu.