PRN: Akui keperluan di Sabah, PN tak tolak kerjasama parti tempatan

PRN: Akui keperluan di Sabah, PN tak tolak kerjasama parti tempatan

Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin sahkan telah ada perbincangan awal namun keputusan akan dibuat pucuk pimpinan.

Dr Ronald Kiandee
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee bakal mengetuai cabaran PN pada PRN Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Sabah telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa parti tempatan bagi menjalin kerjasama pada PRN tahun depan, kata seorang pemimpin Bersatu negeri.

Perkembangan itu juga menyusul selepas Parti Maju Sabah (SAPP) mengisytiharkan keluar PN Sabtu lalu kerana mendakwa hasrat gabungan terbabit mahu bertanding PRN ke-17 bertentangan prinsipnya.

SAPP diterajui bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee mahu supaya semua 73 kerusi DUN ditandingi parti tempatan, sekali gus mengekalkan keanggotaannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bercakap kepada FMT, Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin berkata pihaknya telah mula bergerak tanpa SAPP dan akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen iaitu PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk agihan kerusi.

Namun, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu mengakui PN juga telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa parti tempatan, seiring dinamik politik dan keperluan semasa terutama dalam konteks Sabah.

“Memang ada perbincangan dengan beberapa parti tempatan tapi kita belum putuskan dan sekarang kita masih ambil keputusan jalan solo tapi ini politik mungkin berlaku kolaborasi (untuk PRN) kita tak tahu tapi berbincang memang ada,” kata ketua Bersatu Libaran itu.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan parti tempatan itu dan menegaskan ‘ia akan diputuskan oleh pusat’.

Namun, beliau berkata asas perbincangan berkait agihan kerusi yang akan ditandingi setiap parti bergabung mengambil kira situasi ‘menang-menang’.

Yunus yakin PN akan mendapat sokongan pengundi pada PRN berdasarkan kedudukan Bersatu selaku peneraju di Sabah yang tidak terjejas walaupun semua wakil rakyatnya termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor meninggalkan parti itu pada Disember 2022.

“PN ada kekuatan sendiri, walau ditinggal Hajiji tapi di peringkat akar umbi tiada yang lari sebab itu kita cepat tubuhkan (kuatkan) semula Bersatu di Sabah,” katanya.

Pada PRN Sabah 2020, PN menang 17 kerusi DUN iaitu 11 dimenangi wakil Bersatu manakala enam oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

STAR diketuai Jeffrey Kitingan turut keluar PN pada Disember 2022 dan menjadi sebahagian GRS diketuai Hajiji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.