
Pengarah Pilihan Raya Peto Galim berkata perbincangan untuk baki 25% yang meliputi kerusi panas, dijangka selesai Januari ini, menurut laporan Borneo Post.
Peto berkata, jika perjanjian tidak dapat dicapai, isu itu akan dirujuk kepada presiden parti masing-masing untuk diselesaikan.
PKR salah satu daripada empat komponen PH Sabah, bersama DAP, Upko dan Amanah.
Penggal DUN Sabah berakhir pada Okt 2025 bererti pilihan raya negeri ke-17 perlu diadakan sebelum 9 Dis 2025.
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin pula berkata rundingan di peringkat PH berjalan lancar.
Katanya, sebarang penangguhan dalam rundingan bukan disebabkan apa-apa pertelingkahan, sebaliknya akibat kesibukan jadual akhir tahun rakan sekutu PH.
“Berhubung kerjasama (dengan parti lain), kami belum membuat sebarang keputusan. Kami akan mempertimbangkan sebarang tawaran sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
Minggu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan PH Sabah dalam pilihan raya negeri akan datang.
PH menyertai kerajaan Sabah selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal oleh Umno, tahun lalu.