2 lelaki tular rompak guna parang, larikan Myvi diburu

2 lelaki tular rompak guna parang, larikan Myvi diburu

Suspek dirakam menerusi CCTV ketika disyaki melakukan rompakan di Taman Sri Treh, Bakri, Muar pagi semalam.

rompak rumah
Rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di rumah mangsa menunjukkan dua lelaki disyaki merompak sebuah rumah semalam.
PETALING JAYA:
Dua lelaki diburu polis selepas disyaki merompak sebuah rumah dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Treh, Bakri, Muar pagi semalam.

Mereka turut dikesan melarikan Perodua Myvi milik mangsa sebelum kenderaan itu ditemui di Jasin Melaka, pada 11.30 pagi, menurut Harian Metro.

Kegiatan kedua-dua suspek berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa hingga tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, mereka dilihat memasuki rumah ketika pemiliknya sedang berehat dan mengambil barangan berharga.

Suspek sebelum itu bersembunyi di sebalik tembok pagar sebaik menyedari mangsa pulang ke rumah.

Mereka kemudiannya keluar dari rumah dan keluarga mangsa cuba menghalang namun gagal.

Tidak lama selepas itu, suspek masuk ke dalam kereta dan terus melarikannya.

Difahamkan, salah seorang ahli keluarga mangsa cedera selepas dipukul suspek ketika pergelutan di luar rumah.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya masih giat mengesan kedua-dua mereka ketika ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Seventhi Panner di talian 011-1625 1909.

“Mereka juga boleh menghubungi Hotline IPD Muar di talian 06-9526001 bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.