
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata seperti dalam Umno, PKR juga mempunyai panglima perang yang setia bersama Presiden Anwar Ibrahim sejak di zaman pembangkang.
Mereka antaranya Timbalan Presiden Rafizi Ramli; Naib Presiden Amirudin Shari dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail.
Keadaan itu, kata Ariff akan memberi cabaran besar kepada menteri pelaburan, perdagangan dan industri untuk menandingi figura yang lebih senior dalam parti pelbagai kaum itu.
“Sudah tentu akan ada suara-suara tak puas hati,” katanya kepada FMT, sambil berpendapat ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu perlu mempertimbangkan hasratnya sebaik mungkin sebelum nekad melangkah masuk ke PKR.
Semalam, memetik sumber FMT melaporkan Tengku Zafrul mungkin terdorong mengintai masa depan politiknya dengan PKR disebabkan hubungan tegang dengan ‘panglima-panglima’ dalam Umno.
Ahad lalu, beliau mengesahkan ada perbincangan untuk menyertai PKR, namun belum membuat sebarang keputusan dan menafikan ia membabitkan jawatan pentadbiran negeri.
Tengku Zafrul pada April meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor kerana tidak dapat melakukan sebarang penambahbaikan untuk kebangkitan di negeri itu.
Ketika itu, beliau mengkritik Umno Selangor atas pelaksanaan rancangan kebangkitan parti yang hambar, susulan prestasi buruk parti itu pada PRN yang hanya menang dua kerusi.
Mengulas lanjut, Ariff berkata jika Tengku Zafrul diberi layanan ‘ala kayangan’ oleh pemimpin tertinggi PKR, sudah tentu ia akan mencetuskan keresahan dan tidak puas hati dalam kalangan ahlinya.
“Jika sentimen menggusarkan ini tidak dibendung dengan baik maka ia akan mewujudkan lagi kem-kem dan PKR tidak memerlukannya,” katanya sambil menambah seorang pemimpin parti perlu mempunyai sokongan akar umbi kuat untuk kekal relevan.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan menjangkakan nasib sama akan dilalui Tengku Zafrul jika benar beliau melompat ke PKR.
“Tengku Zafrul ditatang dengan baik oleh Umno diberi jawatan ketua bahagian, dan bendahari Selangor tapi masalah beliau tiada sokongan akar umbi kerana dalam Umno sokongan akar umbi amat penting.
“Dalam Umno Tengku Zafrul bukan dihormati sebagai ahli dan pemimpin Umno, dan bukan juga dikenali sebagai menteri (dari Umno).
“Kalau betul ura-ura nak pindah PKR, nasib dia dalam PKR pun sama,” katanya.