SAPP keluar PN lemah sentimen tempatan, kata penganalisis

SAPP keluar PN lemah sentimen tempatan, kata penganalisis

Hilang satu-satunya parti tempatan jadikan PN hilang daya tarikan setempat menjelang PRN Sabah.

yong teck lee
Baru-baru ini, Presiden SAPP Yong Teck Lee umum keluar PN kerana berpegang prinsip semua 73 kerusi DUN ditandingi parti tempatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hala tuju Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan di Sabah menjelang PRN selepas tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar gabungan itu.

Awal bulan ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menjadi perkara dasar dalam manifestonya, pada pilihan raya yang diramal pada akhir tahun depan.

Namun, pada Sabtu lalu, Presiden SAPP Yong Teck Lee pula mengumumkan partinya keluar PN kerana berpegang prinsip semua 73 kerusi DUN ditandingi parti tempatan.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, berkata kehilangan SAPP yang disifatkan parti tempatan utama akan melemahkan prospek PN di negeri itu, memandangkan jangkaan melenyapkan daya tarikan setempat.

“Konflik dalaman dan cabaran kepimpinan berterusan dalam PN boleh juga memberi kesan terhadap keseluruhan strategi dan kecekapan pada PRN Sabah,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, percaya PAS akan mengurangkan impak dengan terus memanfaatkan faktor agama terutama di kawasan luar bandar.

“Selagi PAS mengekalkan momentum, parti itu berkemampuan tembus di Sabah walaupun selepas SAPP menarik diri,” katanya.

Desakan autonomi

Bilcher turut mengaitkan tindakan SAPP keluar PN menjadi langkah lebih meluas dalam kalangan parti tempatan terhadap dominasi politik persekutuan.

“Langkah ini sejajar dengan aspirasi ramai rakyat Sabah yang mahu autonomi lebih besar dan penentuan sendiri, bebas daripada campur tangan parti kebangsaan.

“Sentimen ini bukan eksklusif kepada SAPP, tetapi menjadi sebahagian gerakan dalam kalangan parti tempatan di Sabah dan Sarawak untuk meluaskan lebih kawalan terhadap masa depan politik dan ekonomi.”

Baik buruk kepada GRS

Bilcher berkata, keputusan SAPP kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mengukuhkan komitmen gabungan menegakkan prinsip MA63.

“Kesepakatan ini penting untuk dibentangkan secara bersepadu kepada pengundi dan meningkatkan peluang berjaya menjelang PRN.”

Namun, Oh memberi peringatan bahawa langkah SAPP berkemungkinan merumitkan rundingan dalam gabungan. “Pembahagian kerusi berkemungkinan menjadi lebih sulit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.