
Pesawat yang membawa Musa tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 12.02 tengah hari dan disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Mohd Arifin Mohd Arif.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Jahid Jahim, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Robert Tawik yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah James Ratib, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew serta beberapa Adun Sabah.
Musa turut beramah mesra dengan orang ramai yang berkumpul di Terminal 2, KKIA yang terletak di Tanjung Aru, bagi menyambut ketibaan beliau dan mengucapkan tahniah serta menyatakan sokongan kepada pemimpin itu.
Terdahulu perkarangan Terminal 2, KKIA dipenuhi petugas media yang mahu mendapatkan gambar dan perkembangan terkini mengenai bekas ketua menteri Sabah itu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Musa dalam satu istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun dari 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.
Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-14 itu adalah bagi menggantikan Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini selepas menyandang jawatan tersebut selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.