Pengasuh mengaku tak salah aniaya bayi 3 bulan

Pengasuh mengaku tak salah aniaya bayi 3 bulan

Wanita itu didakwa aniaya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

gavel
Tertuduh, Monsinah Sapari, 48, dibenar ikat jamin RM5,000 dengan sebutan semula kes pada Januari. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Suri rumah minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan melakukan penganiayaan ke atas bayi asuhannya berusia tiga bulan, pada Julai lalu.

Tertuduh, Monsinah Sapari, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menganiayai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuarters Guru di Kampung Melayu Kangkar Pulai, Johor Bahru, antara 7.30 pagi hingga 12.44 tengah hari, 17 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan dibuat di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Namun, peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri mewakili tertuduh, memohon budi bicara mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Katanya, tertuduh mempunyai dua anak masih bersekolah, selain menjadi pengasuh bagi membantu menjana pendapatan keluarga.

“Tertuduh ditanggung suaminya yang bertugas sebagai guru. Mereka mempunyai alamat tinggal tetap, jadi tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya menurut Berita Harian.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Balai Polis Kangkar Pulai sebulan sekali.

Sebutan semula pada 14 Jan untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.