Pemecatan tak adil: Bekas jurutera syarikat O&G dianugerahkan RM655,000

Pemecatan tak adil: Bekas jurutera syarikat O&G dianugerahkan RM655,000

Mahkamah Perusahaan memutuskan majikan mengubah penanda aras selepas kadar prestasi keseluruhan berjaya dicapai.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan memberi pampasan RM655,534.88 terhadap Alfian Affendi Ahmad Anuar selepas mendapati pemecatan tidak adil oleh Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn Bhd. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas jurutera mekanikal di sebuah syarikat minyak dan gas berkait dengan Petronas mendapat pampasan RM655,534.88 selepas Mahkamah Perusahaan mendapati beliau dipecat secara tidak adil kononnya kerana gagal mencapai sasaran penilaian ditetapkan majikannya.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan D Paramalingam berkata, tidak sesuai untuk Alfian Affendi Ahmad Anuar diberi semula jawatannya dengan Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn Bhd (CPOC) memandangkan keadaan kes itu.

Susulan itu, Paramalingam menganugerahkan Alfian – yang gaji bulanan terakhirnya RM21,283.60 – pampasan sebagai ganti dikembalikan ke jawatannya sebanyak RM170,268.80 untuk lapan tahun perkhidmatan yang lengkap.

Alfian juga dianugerahkan gaji kebelakangan sebanyak 24 bulan iaitu maksimum dibenarkan undang-undang, berjumlah RM510,806.40.

Dalam keterangannya, Alfian memberitahu mahkamah beliau tidak bekerja sejak dipecat pada 12 Okt 2021, tetapi Paramalingam berkata pihak yang menuntut tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau gagal memohon kerja.

“Dalam keadaan ini, mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memotong 5% (RM25,540.32) daripada gaji kebelakangan diberi kepada pihak yang menuntut untuk pendapatan selepas dipecat,” katanya dalam penghakiman 30 muka surat yang dikeluarkan awal bulan ini.

Fakta kes menunjukkan syarikat itu mengarahkan Alfian menjalani pelan pembaikan prestasi (PIP) selama enam bulan berkuat kuasa 1 Jan 2021, dan meletakkan kadar sasaran minimum “3” untuk dicapainya.

Paramalingam berkata, Alfian mencapai sasaran keseluruhan minimum akhir tahun itu, dan syarikat tidak mengenakan sebarang syarat tambahan.

Bagaimanapun, syarikat mendakwa walaupun Alfian telah mencapai sasaran itu, beliau gagal menunjukkan pembaikan yang dikehendaki dalam tempoh PIP.

Syarikat kemudian mengeluarkan surat bertarikh 30 Jun 2021 terhadap Alfian yang meletakkan kadar prestasi keseluruhan lebih tinggi iaitu “3M”.

“Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam pihak yang menuntut, bahawa syarikat telah mengubah penanda aras ditetapkan selepas pihak menuntut mematuhi arahan syarikatnya supaya mencapai kadar keseluruhan sebanyak 3,” katanya.

Alfian diwakili peguam Harjinder Singh Sandhu manakala Maximilian Tai, Faisal Moideen dan Syaarifah Ameerah Syed Haja Muyinudeen mewakili syarikat berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.