
Rafique Rashid Ali berkata, ini selepas beberapa laporan dibuat kelmarin dan semalam di balai polis seluruh negara, termasuk Wangsa Maju, Dang Wangi, Tampin, Subang Jaya, Cheras, Kajang dan George Town.
Menurutnya, laporan itu bertujuan menangani dakwaan salah urus dan kenyataan mengelirukan berkaitan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berhubung kes itu.
“Difahamkan, lebih banyak laporan polis akan dibuat dalam beberapa hari akan datang di Sungai Petani, Kedah dan negeri lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Rafique yang mewakili pengadu berkata, laporan dibuat terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata, laporan itu memetik Anwar melabelkan individu terbabit dalam kes itu sebagai “pengkhianat” dan perubahan pendirian tiga bekas menteri berkenaan dalam penarikan balik kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Menurutnya, bekas peguam negara, Apandi Ali turut dinamakan dalam laporan polis itu atas dakwaan bertindak tidak wajar dalam pengendalian kes Batu Puteh, seperti yang dikatakan RCI.
Beliau berkata, pengadu percaya individu dinamakan dalam laporan itu melanggar Seksyen 415(b), 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan.
“Pengadu berharap polis akan menyiasat laporan ini secara adil dan saksama, tanpa berat sebelah serta menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus, termasuk memanggil individu dinamakan untuk disoal siasat.”
Laporan RCI yang dikeluarkan awal bulan ini berkata, Mahathir secara sepihak memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan tafsiran keputusan ICJ mengenai Batu Puteh pada 2008.
Menurut RCI, perdana menteri ketika itu menulis surat kepada peguam negara pada 21 Mei 2018 menyatakan “pada pandangan saya, usaha ini (permohonan) tidak perlu diteruskan”.
Mahathir sejak itu mengulangi penafiannya membuat keputusan sepihak berhubung perkara itu.