‘Kamulah beri kerusi pada Tengku Zafrul’, Amanah beritahu PKR

‘Kamulah beri kerusi pada Tengku Zafrul’, Amanah beritahu PKR

Pemimpin Amanah berkata jika menteri pelaburan, perdagangan dan industri menyertai PKR parti itu perlu menyerahkan salah satu kerusinya.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Amanah Selangor Azli Yusof pernah menegur Tengku Zafrul Aziz kerana menuntut kerusi secara terbuka.
PETALING JAYA:
Amanah Selangor kekal dengan pendirian tidak akan menyerahkan kerusi Kota Raja biarpun Tengku Zafrul Aziz menyertai Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi Azli Yusof berkata, jika menteri pelaburan, perdagangan dan industri menyertai PKR, maka parti itu perlu menyerahkan salah satu kerusinya.

“Secara logiknya jika Tengku Zafrul masuk PKR sebagaimana yang diberitakan, maka kerusi PKR yang harus diberikan untuk diisi Tengku Zafrul.

“(Amanah) nak beri macam mana, bukan Tengku Zafrul nak masuk Amanah,” katanya kepada FMT, mengulas status kerusi Parlimen Kota Raja pada PRU16 jika benar Tengku Zafrul menyertai PKR.

Tengku Zafrul adalah ketua Umno bahagian Kota Raja yang mana kerusi Parlimen itu disandang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu iaitu presiden Amanah, rakan komponen dalam kerajaan perpaduan.

Ketika berucap dalam mesyuarat bahagian Ogos lalu, Tengku Zafrul menuntut sama ada Parlimen itu atau DUN di bawahnya iaitu Sentosa, Sungai Kandis atau Kota Kemuning diberikan kepada Umno.

DUN Kota Kemuning dan Sentosa masing-masing diwakili DAP serta PKR manakala Sungai Kandis milik Perikatan Nasional.

Menyusuli permintaan tersebut, Presiden Umno Zahid Hamidi menyokong sambil menambah perkara itu perlu dibincangkan secara berhemah dengan PH.

Azli ketika itu menegur Tengku Zafrul kerana menuntut kerusi secara terbuka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut mengajak Umno berbincang pembahagian kerusi dalam rundingan sesama gabungan, yang antara lain akan mempertimbangkan kebolehan sesuatu parti memenangi sesebuah kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.