Jadikan kekuatan parti ‘pemberat’ lantik pimpinan PN, gesa pemimpin PAS

Jadikan kekuatan parti ‘pemberat’ lantik pimpinan PN, gesa pemimpin PAS

Hashim Jasin berkata setiap keputusan dibuat PN perlu secara 'bertimbang rasa’ dan ambil kira kedudukan rakan komponen.

Perikatan Nasional
Hashim Jasin mencadangkan pelantikan jawatan dalam PN harus dirunding sebaiknya kerana membabitkan kepentingan banyak komponen parti.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS mencadangkan ‘pemberat’ seperti kekuatan parti harus dijadikan pertimbangan utama dalam menentukan pelantikan barisan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Mengakui kuasa itu di bawah Pengerusi Muhyiddin Yassin, namun Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata setiap keputusan dibuat perlu secara ‘bertimbang rasa’ dan ambil kira kedudukan rakan komponen.

“Banyaklah alasannya (untuk dijadikan pemberat) contoh PAS ada banyak kerusi (kuat kerana banyak kerusi DUN dan Parlimen) dan empat negeri kita memerintah (Kedah, Kelantan, Perlis serya Terengganu)…ambil kira itu untuk kebaikan bersama.

“Walaupun pengerusi ada kuasa tetapi rundinglah dulu,” katanya kepada FMT.

Isu agihan jawatan tertinggi PN kembali diperkatakan apabila Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan bendahari agung komponen itu, minggu lalu.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas PN mengesahkan pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung PN selain beberapa pemimpin Bersatu yang lain.

Turut diumumkan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin sebagai timbalan pengerusi PN, Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan PN) manakala Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin mengetuai sayap Wanita komponen terbabit.

Dua lagi Naib Presiden Ronald Kiandee dan Radzi Jidin dilantik anggota Majlis Tertinggi PN.

Bagaimanapun, Samsuri atau dikenali Dr Sam menjelaskan tindakan mengejut itu dibuat untuk memperkukuhkan parti dan tidak berkait keretakan dalam PN.

Menurut Samsuri yang juga naib presiden PAS, tindakan itu tidak berkait dengan keretakan sesama parti dalam PN sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Bulan lalu, beberapa pemimpin PN antaranya Faizal, Hashim dan Presiden Gerakan Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri untuk PRU16.

Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim menegaskan PAS lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi kuat, selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.