Tiada keperluan sidang khas Parlimen bincang subsidi diesel, RON95, kata Fuziah

Tiada keperluan sidang khas Parlimen bincang subsidi diesel, RON95, kata Fuziah

Fuziah Salleh berkata isu penyasaran subsidi boleh dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat pada Februari tahun depan.

Fuziah Salleh berkata Ahli Parlimen boleh bersedia awal untuk menyediakan soalan berkait penyasaran subsidi bahan bakar pada sidang Dewan Rakyat dijangka Februari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada keperluan memanggil sidang khas Parlimen ketika ini bagi membincangkan isu subsidi tenaga termasuk diesel dan petrol RON95, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Mengulas saranan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin dari Perikatan Nasional (PN), Fuziah berkata, cadangan berkait isu itu boleh dikemukakan pada sesi Parlimen depan, dijangka bermula 3 Feb.

Katanya, tempoh Disember hingga Februari 2025 tidak terlalu lama untuk wakil pembangkang menunggu serta membuat persiapan bagi membangkitkan isu rakyat dan pertanyaan kepada kerajaan termasuk isu subsidi.

“Sidang Parlimen Feb 2025 ini adalah peluang yang terbaik untuk membawa isu-isu rakyat ingin di bangkitkan oleh Ahli Parlimen serta juga bertanyakan soalan.

“Dewan Negara masih bersidang, nanti kita akan cuti Krismas dan tahun baru. Selepas itu kita dah boleh bersedia untuk sidang Dewan Rakyat dan boleh mula kumpul soalan,” katanya kepada FMT.

Dipetik HarakahDaily, Khairil Nizam dari PAS mencadangkan sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu subsidi tenaga, termasuk diesel dan petrol RON95.

Khairil berkata sidang itu mekanisme terbaik menangani isu yang kini membebankan kewangan negara dengan subsidi tenaga termasuk bahan bakar telah mengambil lebih RM80 bilion daripada perbelanjaan negara.

Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama antara kerajaan dan pembangkang bagi memastikan solusi yang mewakili kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.