
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata penutupan sementara itu dibuat mengikut Seksyen 15 Akta Pusat Jagaan 1993 dengan kuasa ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, siasatan awal JKM Johor pada 9 Dis lalu mendapati 55 kanak-kanak berada di pusat jagaan itu dan 39 daripadanya dipulangkan kepada ibu bapa kandung mereka keesokannya susulan intervensi awal.
“Baki 23 kanak-kanak terdiri 10 lelaki dan 13 perempuan ditempatkan di ‘safe place’ (lokasi perlindungan) bawah kendalian JKM yang diwartakan mengikut Akta Kanak-kanak 2001,” katanya menurut Berita Harian.
“Semua 23 kanak-kanak diselamatkan itu turut dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak pada 11 Dis untuk mendapatkan perintah sementara mengikut Seksyen 19(2) Akta Kanak-kanak 2001 dan mahkamah membenarkan mereka ditempatkan di tempat selamat yang diwartakan bawah akta berkenaan.”
Kelmarin, media melaporkan pengerusi dan pemilik pusat jagaan anak yatim swasta yang berusia 59 tahun itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol penghuni 17 tahun dan penganiayaan kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Terdahulu, satu video 56 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang. Kejadian itu dipercayai berlaku di pusat jagaan sama.
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan awal mendapati ia berlaku di rumah jagaan anak yatim sama.