Penipuan Gigamax lebih RM7.25 juta, warga Indonesia antara 7 diburu

Penipuan Gigamax lebih RM7.25 juta, warga Indonesia antara 7 diburu

Polis berkata seorang suspek dikenali Muhamad Nizam Sahar dipercayai sudah melarikan diri ke Dubai.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata dua daripada enam warga tempatan diburu itu merupakan kepimpinan tertinggi sebuah NGO. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memburu tujuh individu, termasuk seorang warga Indonesia dipercayai dalang utama kes penipuan pelaburan Gigamax membabitkan kerugian lebih RM7.25 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata warga Indonesia itu dikenali Awaludin, manakala enam warga tempatan berperanan penceramah dan kripto trail.

Katanya, dua daripada warga tempatan itu, Benjamin al Sharif dan Mohd Norizwan Ali merupakan kepimpinan tertinggi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), manakala yang lain ialah Mohamad Sufi Abd Razak, Muhd Firdaus Khadri serta Risman Muhd Yatim.

Menurutnya, seorang lagi suspek ialah Muhamad Nizam Sahar yang dipercayai sudah melarikan diri ke Dubai.

“Mereka berusia 38 hingga 48 itu diperlukan bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan Gigamax, yang mana setakat ini 101 laporan polis diterima membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM7.25 juta.

“Kita percaya enam lagi individu, termasuk warga Indonesia itu masih berada dalam negara. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK.

Pada 13 Nov lalu, 11 individu termasuk dua wanita berusia 34 hingga 59 tahun ditahan berkaitan kes itu di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Gigamax ialah platform berfungsi sebagai broker mata wang kripto yang menjadi medium antara pelabur dan pasaran kripto.

Platform itu diperkenalkan awal Julai 2022 oleh sebuah akademi NGO yang menyediakan kaedah pendidikan dalam bentuk “blockchain” dan “decentralization finance” (kewangan tidak berpusat).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.