PAAB biayai pembinaan 2 LRA di Seberang Perai

PAAB biayai pembinaan 2 LRA di Seberang Perai

Projek itu membabitkan pembinaan LRA Sungai Perai di daerah SPT dan LRA Sungai Muda di daerah SPU.

(Dari kiri) Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB Rozaifee Abu Zaharim, CFO Zaleha Abdul Hamid, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Pengerusi PAAB Jaseni Maidinsa dan Ketua Pegawai Eksekutif Zulkiflee Omar. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan membiayai hampir RM1 bilion untuk membina dua loji rawatan air (LRA) di Seberang Perai bermula tahun depan.

PAAB memaklumkan, pihaknya komited bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membina dua LRA baharu di Seberang Perai bagi meningkatkan margin simpanan air terawat di kawasan itu pada masa akan datang.

“Projek itu membabitkan pembinaan LRA Sungai Perai di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan kapasiti 136 juta liter air sehari (MLD), manakala sebuah lagi projek melibatkan pembinaan LRA Sungai Muda di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dengan kapasiti 114 MLD

“Apabila siap kelak, 15% margin simpanan air terawat dapat dikekalkan di Pulau Pinang dan berupaya mengatasi permintaan tinggi pengguna di kawasan SPT dan SPU untuk menyokong keperluan pembangunan masa depan,” kata PAAB dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas PAAB mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Komtar yang turut disertai Pengerusi PAAB Jaseni Maidinsa, Ketua Pegawai Eksekutif Zulkiflee Omar dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Zaleha Abdul Hamid.

Dalam pertemuan itu, pihak PAAB berpeluang memperkenalkan dengan lebih terperinci peranan dan tanggungjawabnya sebagai syarikat yang dilantik kerajaan persekutuan.

Menurut PAAB, ia bagi menyediakan dana mudah cara dalam melaksanakan projek pembangunan prasarana air bukan sahaja di Pulau Pinang malah di semua negeri yang telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air dengan PAAB.

“PAAB ditubuhkan pada 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan dikawal selia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membantu kerajaan persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.

“Ia juga sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetitif,” katanya.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Pulau Pinang pada 2011 dan projek prasarana air itu merupakan penglibatan PAAB yang pertama di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.