Menara telekomunikasi bantu tingkat akses internet nelayan Gertak Sanggul

Menara telekomunikasi bantu tingkat akses internet nelayan Gertak Sanggul

Exco Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata menara di Tanjung Asam itu akan menyediakan liputan telekomunikasi sehingga dalam radius 1km.

Zairil Khir Johari mendengar penerangan berhubung kemajuan pembinaan menara telekomunikasi di Tanjung Asam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Komuniti nelayan di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar antara 3,000 pengguna bakal mendapat manfaat menerusi pembinaan menara telekomunikasi yang menyediakan liputan mudah alih berkelajuan 4G dan 5G.

Golongan B40 termasuk nelayan terbabit akan dibantu menerusi penyediaan akses internet pada kelajuan memuaskan termasuk di perairan sekali gus menyokong mereka menerusi penyelarasan aktiviti ekonomi dengan lebih mudah.

Exco Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata menara setinggi 60 meter terletak di Tanjung Asam itu dibina hasil kerjasama kerajaan Pulau Pinang dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pembinaannya diterajui Konsortium Jaringan Selangor (KJS) yang berpengalaman 26 tahun dalam membina 1,000 menara telekomunikasi di seluruh negara.

“Menara komunikasi itu akan membantu menyediakan liputan telekomunikasi di sepanjang laluan Tanjung Asam dan kawasan sekitar dalam radius 1 km.

“Menara ini dijangka siap menjelang penghujung Disember ini,” katanya di Facebook sambil menjelaskan pembinaan hanya mengambil masa lima bulan selepas permohonan tanah pada Ogos lalu.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada pihak menjayakan projek itu dengan lancar iaitu SKMM, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Pejabat Daerah Barat Daya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, KJS, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, YES berkata pihaknya komited untuk menjadi pemain utama dalam transformasi pendigitalan negara dengan membantu meningkatkan akses di pedalaman.

“YES telah melengkapkan 70% daripada Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa kedua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.